Iman

Iman

Amal

Amal

Ilmu

Ilmu

Ikhlas

Ikhlas

Ibrah 16:Zina Itu Hina

Sunday, January 31, 2010

Kenapa Allah haramkan Zina?

Kenapa isu pembuangan bayi itu bermusim? Semacam musim buah isu ini.Ada masa dan ketika.Antara teori popular,bayi-bayi ini hasil dari sambutan Valentine Day atau Hari Kekasih tanggal 14 Februari, yang mana si gadis akan menyerahkan daranya sebagai tanda kasih pada 'teman tapi mesra'nya.

Bila hasil eksperimen itu berbuah, maka terkial-kial mencari jalan untuk menutup malu. Bagi yang bodoh (dan kebanyakannya memang bodoh,jahil dan sewaktu dengannya) memilih jalan senang;

-Buang-

Seketika nanti, Valentine Day akan kembali lagi, semua media dan agen propaganda sibuk meraikan Valentine Day, semua ruang digunakan kapitalis untuk memaksimakan acara ini. Mungkinkah tahun ini akan berulang? Akan lahirkah bayi-bayi haram hujung tahun nanti.Sama-sama kita tunggu.

Segalanya berpunca dari nafsu.Segalanya berpunca dari pergaulan yang terlampau bebas.Segalanya berpunca dari ZINA.

Ibrah dari Surah AnNur ayat-21

Segala persetubuhan diluar nikah adalah zina.Di Malaysia, perkataan zina sudah semakin kurang digunakan oleh media utama di Malaysia, mungkin takut agaknya dengan perkataan tersebut, kerana hukumnya amat berat dan menakutkan bagi penzina, maka mereka menggantikan perkataan zina kepada khalwat atau bersekedudukan. Semacam sopan sedikit.

Adalah agak aneh bila komuniti media menggambarkan zina ini seakan sesuatu yang ringan.Bukan bermaksud untuk mendidik tapi lebih bermaksud mencari publisiti.Mana tanggungjawab anda kepada komuniti orang biasa?

Sopan atau tidak sopan, zina tetap zina, walau beribu nama lain yang diganti.Ia tetap dosa besar yang sudah termaktub dalam Kitab Allah.

Dari pandangan barat, berzina itu hanyalah jika seorang lelaki bersetubuh dengan isteri orang, dan bila suami perempuan itu tidak setuju dan mengadu kepada hakim, itulah baru dikira zina, jika suka sama suka, maka ia tidak dikira zina.

Kenapa zina itu hina?

Dari zaman Nabi Musa lagi,zina telah dilarang keras.Begitu juga Nabi Isa.Umat yahudi dan Kristian sekarang menghalalkan sesuatu yang dulunya memang haram bagi mereka.Mereka ubah segala panduan dan kitab mereka supaya sesuai dgn kehendak nafsu mereka.

Orang Yahudi pernah mengubah kitab mereka, supaya hanya golongan rendah yang dikenakan hukum rejam bila berzina,tetapi golongan bangsawan akan terlepas.

Nabi Isa pernah berpesan kepada umatnya supaya mengcungkil mata jika pandangan itu boleh mengarah kepada zina.Sampai begitu sekali pesan baginda.

Islam datang untuk menjaga 5 perkara wahai sahabat;

Memelihara agama itu sendiri,Sebab itu dihukum keras orang murtad,orang tidak sembahyang malah dibenarkan berperang bila mempertahan agama.

Memelihara jiwa manusia, sebab itu dihukum keras sesiapa yang membunuh orang lain, dan sangat berdosa besar jika membunuh diri sendiri.Nyawa hanya satu setiap orang, ia perlu dijaga dengan penuh amanah.

Memelihara kehormatan,Sebab itu zina dilarang keras, perhubungan lelaki dan perempuan mesti diasaskan dengan nikah. Dizaman Saidina Ali, pernah dilaksana hukuman bakar terhadap golongan gay dan lesbian.Islam tidak pernah main-main dalam menjaga kehormatan umatnya.

Memelihara akal.Sebab itu dilarang minum arak yang merosak akal anda.Akal umat islam mesti dijaga kualitinya.

Memelihara harta benda.Mengejar harta mesti dengan jalan yang betul.Tidak dibenar mengambil hak orang suka-suka hati anda.Balasnya terpotong sebelah tangan nantinya.

***

Zina itu merosak pihak yang lemah iaitu perempuan.

Pelaku zina itu tidak akan pernah puas.Jarang sekali jika sudah terlanjur,maka tidak akan mengulangi perbuatan itu.Kerana nafsu yang meluap-luap itu perlu dipuaskan.

Zina menurunkan taraf si pelaku.Hilang hormat masyarakat kepada si penzina,rendah martabat orang berzina di mata masyarakat.

Zina memberi kesan kepada anak yang tanpa ayah.Nescaya lompang jiwanya jika diketahui dia tidak sama dengan kawan-kawan sepermainan yang beribu dan berbapa.Rosak masyarakat akhirnya bila ramai ahli-ahli masyarakat yang rosak jiwanya.

Sangat banyak kerosakan bilamana kehormatan tidak dijaga.Bilamana dunia terlalu bebas sehingga seks itu boleh dibuat pesta, sehingga ada kelab yang menawarkan pakej saling bertukar-tukar isteri.Sehingga ada rekod dunia untuk lelaki yang paling banyak meniduri wanita.

Hebatnya Islam, begitu teliti sehingga sesuatu yang serius seperti zina sangat dipandang serius.Bukan dipandang ringan oleh kepercayaan yang lain.Hukumnya berat amat.Berzina termasuk dalam dosa yang amat besar selain dari mempersekutukan Allah dan membunuh manusia lain.

Manusia sentiasa obses dengan seks.Lelaki lebih obses tentang subjek seks dari wanita.Wanita perlu dirangsang dahulu.Entah-entah selepas itu mereka lagi hebat dari lelaki.

Wahai penzina, baik anda bertaubat segera, redhalah dengan hukuman hudud didunia kerana diakhirat kelak amat dahsyat balasannya.Api neraka sudah mula menjulang membakar sedang anda mula berzina.

Anda bukan saja hina didunia,tapi anda akan seksa di neraka jika anda berdegil untuk bertaubat!

Bangsa boleh rosak bila zina berleluasa.Sejarah membuktikan,bilamana bangsa Yunani yg perkasa runtuh bila akhlak mereka runtuh, bangsa Mesir purbakala lebur bilamana tiada lagi batas lelaki dan perempuan.Begitu juga tamadun Parsi.Musnah begitu saja.

Zina sangat merosakkan walau anda bukan seorang islam, sebab itulah islam sangat menitikberat soal isu zina. Cuba lihat personaliti dan figur dunia hiburan,sukan,korporat,politik dan sebagainya.Sebagai contoh, Tiger Woods (Pemain golf terhebat yang masih hidup barangkali), Bill Clinton (Presiden US), Max Mosley (Presiden FIA)- mereka semuanya merudum selepas rahsia mereka terbongkar.

dan yang terbaru, John Terry (kapten Chelsea & England).Nantikan kesudahan drama kehidupan ini.

Dari satu sisi, di sini kita dapat lihat kecantikan islam yangmenghalalkan poligami jika anda mampu.Tak perlu anda rosakkan reputasi dan imej anda semata-mata untuk memuaskan selera batin anda.Jika anda mampu dan perlu, sila berpoligami, jgn hampiri zina!

Sejarah moden juga membuktikan sedemikian, ramai pemimpin dunia tewas kerana perempuan.Zina dijadikan senjata musuh-musuh negara Perancis,Rusia dan Belanda sehingga pemimpin utama mereka runtuh sekaligus menyumbang kejatuhan negara suatu masa dahulu.

Berjaga-jagalah wahai sahabat!.Jangan biarkan diri anda mendekati zina.Padah anda didunia mahupun diakhirat.

Wahai gadis-gadis, gunakan akal anda, jangan anda beri percuma aset anda walau melangit mana kasih anda, takutlah Allah, takutlah neraka.Kasihanilah ibubapa anda.Dan yg paling penting, kasihanilah diri anda sendiri.

Wassalam.

Ibrah 15:Mengertikah Anda Apa itu Fasik?

Saturday, January 23, 2010

Anda tahu apa itu Fasik?

Sekadar perkongsian bagi yang kurang mengerti.Dipetik dari Kuliah TG Nik Aziz berkaitan Sirah Nabawiyah.Bagi yg mengerti, jika ada tambahan ilmu,sila kongsi. Tidak rugi ilmu anda bila berkongsi.Percayalah.

Jika anda ingin tahu ciri-ciri Org Fasik,Hukum Org Fasik,Definisi orang Fasik dan info ala-ala dalam buku teks, sila rujuk kembali buku Teks Pendidikan Islam anda atau cari dengan En Google,kita cuba hurai dari sudut pandangan lain kali ini.

Fasiq dari sudut bahasa adalah 'terkupas kulit luar'.

Diguna masyarakat arab untuk menggambarkan sesuatu yg tidak sempurna apabila terkupas.

seakan kulit pisang terkupas, cepatlah rosak pisang itu,
seakan kulit durian terkupas, cepat rosak isi durian itu,
seakan makanan yg tidak ditutup dgn saji, cepat dihurung lalat sajian anda!

Begitu juga kita.

jika kulit luar (Islam) anda terkupas, mana mungkin isi dalam (Iman) itu sempurna.mungkin berkulat, mungkin dihurung lalat,malah mungkin sudah berulat!

Mana mungkin iman anda sempurna bila anda malas solat.
Mana mungkin iman anda sempurna bila anda tidak puasa.
Mana mungkin iman anda sempurna bila anda tidak berzakat.

dari sudut manusiawi, yang luar itu islam,yang dalam itu iman. apabila terang-terang terkupas islam diluar itu,rendah kebarangkalian yg dalam itu suci terjaga!

Perbuatan dan penampilan zahir itu menggambar anda adalah seorang Islam atau tidak-solat anda,puasa anda,zakat anda,sedekah anda dan segala-gala yang berbentuk syiar. Yg mengesahkan anda adalah seorang islam.

Sebagai contoh,seorang islam tidak boleh ada tatu,maka jika anda terjumpa orang bertatu,maka automatik anda berpendapat orang itu bukan islam.


Scofield yang bertatu

Perbuatan batin itu susah ditafsir.Iman itu barang dalam,ia sama sekali tidak dapat ditafsir dengan mata kasar.Mungkin anda melaksanakan semua suruhan-suruhan Allah seperti diatas, tp jika anda syirik dengan Allah, mana orang tahu!

Orang fasiq itu orang yg terkupas islamnya.
Orang syirik itu terkupas iman dan akidahnya.

Sebab itu syirik itu jauh lebih mudarat dari fasiq.Tapi kita kena ingat,kemuliaan anda hilang bila anda fasiq.

Amat payah untuk kesyurga bila iman itu berdaki dan rosak sifatnya.Kita akan dicelup dalam api neraka untuk membersihkan daki-daki dosa sebelum kita dibenar menjengah kesyurga.Seakan bijih-bijih timah yg perlu dimasak dalam relau untuk mengasingkan timah asli dan daki-daki bijih.

Daki-daki itu sedikitpun tiada nilai.
Yang dicari orang bijih timah yg tulen itu.

Dosa-dosa itu juga tiada nilainya.Nilainya adalah sebagai tiket untuk anda dicelup dalam api neraka yang panas amat.
Yang dicari adalah iman yg tulen.Tiket ke syurga!

Sanggupkah anda ke neraka? Sama-sama muhasabah diri, semoga rahmat Allah bersama kita.Semoga Allah masih sudi merahmati kita walaupun bergunung dosa kita.

Wallahualam.

Ibrah 14:Buta Dalam Cahaya,Lupa Masa Bahagia

Sunday, January 17, 2010


Ibrah 14:Buta dalam cahaya,Lupa masa bahagia

Petikan dari salah satu Lagu Dato' Siti Nurhaliza,album Tahajud Cinta.

Manusia dan lupa itu semacam adik beradik.Walaupun manusia itu makhluk dan lupa itu kata sifat, tapi manusia itu sangat sinonim dengan lupa-lalai-tak ingat.

Selalu kita lupa Allah itu Tuhan kita bilamana kita selalu bergantung kepada yg lain tanpa kita sedari.

Selalu kita lupa bumi ini milik Allah waktu kita melakukan kerosakan atas mukabumi.

Selalu kita lupa,syurga itu wangi dan neraka itu panas,bilamana kita asyik membuat maksiat sehari-hari.Terlalu banyak dan menjadi kebiasaan sampai satu tahap anda tak perasan pun anda tengah buat maksiat.

Selalu kita lupa bahawa kita ini terlalu sedikit sumbangan dan amal sampai tak sedar-sebenarnya layakkah kita masuk syurga?

Kadang-kadang kita terlalu terpesona dengan kemewahan, lemas dalam nikmat dan keseronokan dunia yg semacam tiada batas.Kita sudah jadi macam seekor kelawar yg terbang disiang hari, menjadi buta kerana terlalu banyak cahaya.Sedangkan kelawar itu hebat makhluknya,dalam gelap-kelam pun mampu menyusur celah-celah ranting sempit di malam hari.

Manusia lagi hebat.Manusia ada akal.Kelawar ada naluri sahaja.Kelawar tidak pernah reti membaca suratkhabar Utusan mahupun Harakah,apatah lagi mengaji Quran.Sedangkan manusia hebat akalnya sampai mampu membina binaan hebat-hebat.

Tapi dalam bab dunia,ramai manusia tewas.Ramai manusia buta dalam cahaya.Ramai manusia tenggelam dalam nikmat.

Rasa-rasanya, tak banyak kelawar yang buta dalam cahaya. Kerana kelawar jarang keluar siang hari yg ada byk cahaya.Sgt luarbiasa jumpa kelawar merayau siang hari.Kerana kelawar tahu ia akan buta dalam cahaya.

Tapi manusia,walaupun dilengkapkan dengan akal, sangat ramai yg buta dalam cahaya.Lupa kala bahagia.Mudah tenggelam dalam nikmat-nikmat kesenangan.Dulu dikala dunia tidak semaju ini, walau susah menuntut ilmu, tapi masih ramai yang taat kepada perintah Tuhan.Tapi sekarang, walau ilmu hanya dihujung jari,semakin ramai yang tidak taat perintah tuhan.Manusia semakin sibuk dengan hal masing-masing.

Terlalu sibuk dengan keperluan sendiri.Terlalu serius dengan kerja dan kareer.Melampau dalam mengejar dunia.Ekstrem dalam mengejar wang dan harta.

Tidak salah sedikitpun serius dengan kerja dan kareer.Bukankah itu tanggungjawab anda sang pekerja?

Tidak salah sedikitpun mengejar dunia.Tapi akhirat anda letak dimana?

Tidak salah sedikitpun mengejar wang dan harta.Tapi sumbangan anda kearah menegakkan Islam sebanyak mana?

Anda kena ada matlamat, barulah anda tidak dibutakan dengan nikmat melampau.Kalau dulu, ramai usahawan melayu berusaha keras untuk berjaya sebab nak bayar zakat lagi banyak dan mahu menyumbang lebih banyak untuk masyarakat.

Tapi sekarang, semua orang mahu kaya untuk diri sendiri, malah golongan pendakwah pun meletakkan prioriti duit dalam gerak kerja. Apa sudah jadi dengan masyarakat sekarang.Kambing pun menggeleng kepala melihat keletah manusia.

Benarlah, dunia sudah terlalu tua.Manusia semakin susah untuk berubah. Alangkah takutnya kita yang berada dalam zaman ini. Selamatkah kita dengan api neraka?

Muhasabahlah diri masing-masing!

Wassalam.

Ibrah 13:Sekeping Gambar Membawa Seribu Makna

Thursday, January 14, 2010


Penjara Guantanamao, Cuba

Ibrah 12:Cerdik,Pandai,Bijaksana - Apa Beza?

Saturday, January 9, 2010


Orang yang pandai belum tentu cerdik, jauh lagi dari bijaksana.Seseorang akan menjadi pandai jika dia banyak belajar.Semakin banyak dia belajar semakin pandai dia.

Cerdik pula akan datang hasil interaksi seseorang dengan alam. Ia dipanggil pengalaman. Semakin banyak pengalaman seseorang itu semakin cerdik dia.

Bijaksana itu yg paling susah, kerana anda perlu gabungan cerdik dan pandai barulah anda layak digelar orang bijaksana.Bijaksana boleh jadi 'Fathonah', juga disebut barat 'Man of Wisdom' atau 'Wiseman'. Sifat wajib bagi seseorang rasul adalah 'fathonah'. Rasul bukan sahaja perlu pandai,cerdik tapi wajib bijaksana.

Cuba anda perhati sekeliling, ramai disekeliling anda itu pandai tapi tidak cerdik. Pandai dalam akademik.Tapi tidak cerdik dalam menganalisa sesuatu masalah hidup.

Sebab itu, ada orang yang pandai kerana tinggi pengajiannya tetapi tidak cerdik. Walaupun pandai tetapi tetap kena tipu, tetapi tidak mahir mengurus rumah tangga, perniagaan dan sebagainya. Ada orang yang darjah enam pun tak lulus, tetapi oleh kerana banyak pengalamannya dia menjadi cerdik di dalam menyelesaikan segala permasalahan hidup. Kadang kala, orang seperti ini lebih menonjol dari orang yang pandai.

Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila kebijaksanaan itu dipimpin oleh Allah,contoh terbaik adalah Nabi Muhammad S.A.W. Bijak Nabi bukan sebarang bijak, bijak baginda bijak terpimpin.Kerana itu baginda sangat hebat.

Nabi muhammad s.a.w pernah bersabda: ”Orang yang bijaksana ialah orang yang banyak mengingati mati”.

Apa kaitan bijaksana dengan mati?

Bilamana orang yang banyak mengingati mati tentu takut untuk menghadapinya tanpa bekalan yang mencukupi.

Bilamana orang yang banyak mengingati mati akan sentiasa terdorong untuk beramal dan membuat kebaikan dan sentiasa beringat bahawa mati itu tiada tarikhnya.

Bilamana orang yang banyak mengingati mati merasa takut untuk membuat dosa dan maksiat, dibimbanginya mati dalam keadaan berbuat maksiat.

Natijahnya syurga wahai sahabat!

Cuba anda muhasabah diri anda yg kerdil itu? Anda hebat dalam akademik bukan? Anda golongan elit bukan? Sedari kecil anda sentiasa di sekolah elit,bergaul dengan orang elit, sekolah tadika pun; tadika elit barangkali.

Keputusan PMR anda bukan calang2. SPM bukan sebarang.Tak cukup jari 'A' nak dibilang.Tapi itu akademik kawan2.

Tuhan tidak pernah menilai 'hebat' anda sebagai tiket ke syurga. Anda mungkin pandai tapi belum cukup pandai bila anda rasa semua yang anda dapat itu adalah hasil dari kehebatan diri
anda.

Anda mungkin pandai tapi belum cukup cerdik bila anda sedar semua itu nikmat dari Allah tapi anda belum buat apa-apa untuk membalas semua kurniaan Allah itu. Anda mungkin pandai tapi belum cukup bijaksana bila anda mula berfikir tempat anda sesudah mati?

Dan anda memang benar2 bijaksana, Bilamana anda sudah mula merangka untuk berjuang menegakkan Islam yg hebat dan mulia ini di penjuru2 anda berada. Anda sudah mula tahu bahawa anda adalah khalifah di muka bumi ini,bilamana anda sudah mula belajar dari universiti kehidupan.Bilamana anda sudah mengerti bahawa Islam itu tempatnya diatas, bukan dibawah seperti sekarang. Untuk menaikkan Islam keatas, tanggungjawab siapa lagi kalau bukan anda?

*****

Kehadiran anda di bumi ini bukanlah sekadar untuk mendapat 5A dlm UPSR,9A dlm PMR, 20 A dalam SPM dan 4.00 CGPA di universiti.

Cari kerja hebat-hebat,Pilih isteri cantik-cantik,Beli kereta besar-besar,Simpan duit banyak-banyak,Bina rumah mewah-mewah,Buat anak ramai-ramai. Hidup-sampai-tua-mati-masuk-keranda. Inikah skrip hidup anda?

Tidak sahabat2.Bukan ini maksud kita dikirim di muka bumi. Jawapan mungkin tiada disini,tapi untuk sama-sama kita fikirkan.

Apa tujuan tuhan lahirkan kita di dunia?
Apa tujuan tuhan lahirkan kita di dunia?
Apa tujuan tuhan lahirkan kita di dunia?

Seorang tukang sapu yang tidak pernah tinggal solat sudah tentu lebih bijaksana berbanding seorang CEO yang tidak solat!

Sudah cerdikkah anda?

Wassalam

Ibrah 11: Bijakkah Anda Menimbang?

Sunday, January 3, 2010


“Lihatlah orang dibawah kamu dalam hal-hal dunia, tapi lihatlah orang diatas kamu dalam hal-hal akhirat” -Hukamak

Kontra pernyataan diatas dengan apa yg ada dalam masyarakat.

Anda akan berubah menjadi manusia yg sentiasa bersyukur bila anda mendalami kata-kata diatas, tapi anda akan jadi seorang manusia yg rasa tidak pernah cukup bilamana kata-kata diatas diterbalikkan.

"Lihatlah orang yg lebih baik dari kamu dalam hal dunia, tapi lihatlah orang yg lebih teruk dari kamu dalam hal akhirat!"

Dikala manusia sibuk membanding-banding antara satu sama lain, kadang-kadang tanpa kita sedari, kita jua termasuk dalam golongan tersebut. Seringkali kita tertipu dengan dunia walau seringkali diingatkan.

Lihat fenomena sekeliling anda,

Bila jiran beli perabot baru, maka sibuklah sang suri memujuk suami supaya dibelikan perabot yg lebih hebat dari jiran.

Bila kawan sepejabat beli gajet baru, maka sibuklah diri mencongak-congak untuk tukar gajet sedia ada, supaya boleh ‘lawan’ gajet kawan sepejabat tadi.

Bila kawan beli kereta baru, maka terloncat-loncat anda pun nak tukar kereta baru.

Ini fenomena masyarakat.Itu berkaitan hal-hal dunia.Tapi bila saja masuk hal-hal akhirat, ada siapa peduli?

Jarang orang mahu bandingkan dirinya dengan orang lebih baik darinya.

Pernahkah anda terasa dengki apabila sahabat anda lebih banyak bersedekah dari anda?
Pernahkah anda terasa geram apabila teman anda lebih banyak amal dan kerja untuk Islam berbanding diri anda?
Pernahkah anda terasa terancam bila kawan anda itu lebih tinggi ilmunya dan lebih byk memberi dan berkhidmat menyebar agama berbanding dengan anda?

Jika ya, maka anda dalam golongan beruntung. Anda dalam golongan spesies terancam yg sangat sedikit dalam komuniti ini barangkali!

Tapi jika tidak, awas- anda mungkin tergolong dalam jenis-jenis manusia yg sgt banyak melata di muka bumi ini. Yang pernah Rasullullah istiharkan seumpama buih-buih di lautan. Sangat banyak jumlahnya tapi sangat sedikit sumbangannya.

Sama-sama muhasabah diri.

*******


“Why should I compare myself to the Ethiopians or Somalians? Why can't I compare myself to the Swedes or Germans?” –Quote from one of the Malaysian Blogger

Kenapa kita selalu diperbodohkan oleh perbandingan? Dan yg paling haru, kebanyakan orang menerima bulat-bulat perbandingan dari mereka yg sepatutnya adil dalam membanding sesuatu.

“Minyak di Malaysia jauh lebih murah jika dibanding dengan harga-harga serantau seperti Thailand, Taiwan,mahupun Hongkong” kata seorang menteri yg berkenaan

“GST ini sudah dilaksanakan semua negara serantau kecuali Malaysia” ulas menteri yg lain pula

“Kualiti air negara kita adalah memuaskan jika dibandingkan dengan piawaian antarabangsa, jadi pembersihan loji tidak perlu” ulas pihak berkenaan.

"Kita lebih maju dari Somalia dan Ethiopia, rakyat sepatutnya bersyukur."

Kenapa anda tidak gantikan Somalia,Ethopia itu dengan Singapura atau Taiwan? Kenapa berbangga dengan kemajuan negara dengan membanding diri dengan pihak yg lebih lemah.

Selalu begitulah contoh-contoh benar yg diulas pihak berkaitan.Orang pendek akal yg malas berfikir selalu menerima bulat-bulat tanpa berfikir.

Benarkah pernyataan sang Menteri itu? Tepatkah perbandingan yg dibuat antara contoh-contoh tersebut? Piawaian mana yg digunapakai?

Bila dibuat perbandingan,ia mesti adil.

Tak wajar anda membandingkan harga minyak di negara bukan pengeluar minyak dengan negara pengeluar minyak.

Itu salah satu contoh lapuk.

Bilamana negara sedang menuju ke arah maju dan kedepan, adalah amat wajar kita meletakkan negara-negara yg terdahulu maju sebagai penanda aras.Sweden dan German contoh yg relevan.

Adalah tidak wajar kita memdabik dada bahawa kita sudah cukup bagus sedangkan yg dibanding dengan kita adalah Ethiopia dan Somalia! Itu contoh perbandingan yg tidak adil dan tidak objektif.

Anda akan kurang daya juang bila anda tidak mahu keluar dari zon selesa.Anda rasa hebat dalam kokun anda sendiri.Sedangkan diluar ada banyak lagi gergasi yg anda patut tandingi.

Sentiasa tengok orang yg lebih baik dari diri, barulah anda akan rasa tercabar.

Jangan selalu renung orang yg lebih lemah dari anda dan perasan diri anda sudah mantap.

Nanti anda lambat maju kedepan!


Wallahualam.

p/s- kepada rakyat Somalia atau Ethiopia, jgn anda terasa hati,perbandingan diatas bukanlah untuk menghina anda, sekadar diambil dijadikan pengajaran.