Ibrah 27:Adat Pisang,Berbuah Hanya Sekali
Pisang itu lebih hebat mendidik anak dari manusia mendidik anak barangkali. Mana pernah kita jumpa anak pisang emas jadi pisang raja, pisang emas nescaya anaknya pisang emas jua, sama sekali tidak mutasi jadi pisang tanduk mahupun pisang kerpal.
Siapa kata kita tidak boleh belajar dari alam. Pisang, menyedari berbuahnya hanya sekali, sedari terbit sang jantung, sudah berkira-kira untuk si anak keluar tunasnya.Pisang tahu hidupnya hanya sekali. Berbuahnya pun hanya sekali.
Manusia barangkali sukar mahu belajar dari alam.Sikit orang yang datuknya ulamak,maka anak dan cucunya jadi ulamak yang lebih baik dari datuknya itu. Sama juga dengan ahli perniagaan, tidak terlalu besar jumlahnya golongan yang berjaya mendidik anak-anaknya lebih hebat dari diri sendiri. Kebanyakannya, runtuh diperingkat generasi kedua apatah generasi ketiga.Itu fakta. Kebanyakan perniagaan keluarga akan merudum bila si pengasas jadi mayat dan diambilalih oleh sang pewaris.Masuk generasi ke-3, syarikat hasil titik peluh si datuk, cucu sendiri yang lelong.
Pisang sekurang-kurangnya menunaskan anak yang setidaknya akan bersikap seperti induknya,saling tak tumpah rasanya dan rupanya bila besar dan berbuah nanti.Mustahil pisang emas akan melahirkan baka yang rasanya seakan pisang raja.
Keluar sahaja jantung, maka si anak sudah mula bertunas, menandakan riwayat si induk bakal berakhir dan si anak akan menyambung tapak yang sama.
Wahai insan, ambillah ibrah.Didiklah pewaris-pewaris anda itu paling kurang; mesti sama baik ilmu dan amalnya dengan anda. Yang lebih baik, didiklah mereka supaya lebih baik dari anda dan lebih berguna kepada masyarakat.
Bersiap-siagalah untuk hari selepas mati.Bak kata sang cerdik pandai, yang paling bijak adalah yang paling banyak ingat hal mati.Pastikan kita juga terpalit dalam golongan-golongan itu.
Persiapkanlah diri anda.Persiapkanlah keluarga anda.Dan akhirnya, persiapkanlah buku kira-kira amalan anda.Semoga kubur kita itu seakan salah satu dari taman-taman syurga.Insyaallah.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment