Iman

Iman

Amal

Amal

Ilmu

Ilmu

Ikhlas

Ikhlas

Ibrah 28: Secebis Azam,Menggunung Harapan

Wednesday, April 28, 2010


Secebis Azam,Menggunung Harapan.

Selamat Hari lahir buat diri sendiri!

Hari Lahir yang ke 25 diiringi dengan rezeki dari Tuhan yang Maha Pemurah.Lahirnya Muhammad Azam Akif tanggal 11 April sungguh menggembirakan.Permulaan baru kareer ditempat baru juga amat disyukuri.

Alhamdulillah.Syukur pada Allah.

Tapi,barang diingatkan, berpada-padalah kalian menyambut hari lahir.Semakin bertambah umur kita menandakan semakin dekat kita akan tarikh mati. Kita tidak diajar untuk takut mati tapi kita selalu digalakkan supaya ingat selalu akan mati.Itu peribadi orang bijaksana.

Semakin umur anda meningkat, maka makin besar tanggungjawab anda dalam segala sudut.

Sebagai anak-Ibubapa anda juga semakin bertambah umur selari dengan bertambahnya hari lahir anda, berikanlah kasih sayang anda kepada mereka seoptimum mungkin.Adik-adik anda juga semakin besar, maka pandulah mereka kejalan yang terbaik.Berikan mereka kompas kehidupan.

Sebagai ketua keluarga @ pembantu ketua keluarga - meningkatnya umur anda diiringi dengan ahli keluarga yang semakin bertambah, ditambah dengan tanggungjawab baru.Didiklah anak anda sebetulnya.Jangan biarkan TV atau amah yang mendidik mereka.

Sebagai pekerja- semakin senior anda, semakin besar tanggungjawab anda.Jaga betul-betul amanah anda.Ingat,tidak amanah bukan ciri orang yang betul-betul beriman.

Besarnya tanggungjawab, besar pula pahalanya. Carilah keredhaan Allah.Nescaya nanti Allah akan bantu kita.Bergantung penuhlah padaNya.Pasang azam anda bulat-bulat.Buat betul-betul.Jangan main-main.Insyaallah

Selamat Hari lahir!


Wassalam

Ibrah 27:Hidup Pisang Hanya Sekali

Tuesday, April 27, 2010


Ibrah 27:Adat Pisang,Berbuah Hanya Sekali


Pisang itu lebih hebat mendidik anak dari manusia mendidik anak barangkali. Mana pernah kita jumpa anak pisang emas jadi pisang raja, pisang emas nescaya anaknya pisang emas jua, sama sekali tidak mutasi jadi pisang tanduk mahupun pisang kerpal.

Siapa kata kita tidak boleh belajar dari alam. Pisang, menyedari berbuahnya hanya sekali, sedari terbit sang jantung, sudah berkira-kira untuk si anak keluar tunasnya.Pisang tahu hidupnya hanya sekali. Berbuahnya pun hanya sekali.

Manusia barangkali sukar mahu belajar dari alam.Sikit orang yang datuknya ulamak,maka anak dan cucunya jadi ulamak yang lebih baik dari datuknya itu. Sama juga dengan ahli perniagaan, tidak terlalu besar jumlahnya golongan yang berjaya mendidik anak-anaknya lebih hebat dari diri sendiri. Kebanyakannya, runtuh diperingkat generasi kedua apatah generasi ketiga.Itu fakta. Kebanyakan perniagaan keluarga akan merudum bila si pengasas jadi mayat dan diambilalih oleh sang pewaris.Masuk generasi ke-3, syarikat hasil titik peluh si datuk, cucu sendiri yang lelong.

Pisang sekurang-kurangnya menunaskan anak yang setidaknya akan bersikap seperti induknya,saling tak tumpah rasanya dan rupanya bila besar dan berbuah nanti.Mustahil pisang emas akan melahirkan baka yang rasanya seakan pisang raja.

Keluar sahaja jantung, maka si anak sudah mula bertunas, menandakan riwayat si induk bakal berakhir dan si anak akan menyambung tapak yang sama.

Wahai insan, ambillah ibrah.Didiklah pewaris-pewaris anda itu paling kurang; mesti sama baik ilmu dan amalnya dengan anda. Yang lebih baik, didiklah mereka supaya lebih baik dari anda dan lebih berguna kepada masyarakat.

Bersiap-siagalah untuk hari selepas mati.Bak kata sang cerdik pandai, yang paling bijak adalah yang paling banyak ingat hal mati.Pastikan kita juga terpalit dalam golongan-golongan itu.
Persiapkanlah diri anda.Persiapkanlah keluarga anda.Dan akhirnya, persiapkanlah buku kira-kira amalan anda.Semoga kubur kita itu seakan salah satu dari taman-taman syurga.Insyaallah.

Wassalam

Ibrah 26:Tahu Apa Maksud C.I.N.T.A ?

Wednesday, April 21, 2010


C.I.N.T.A : Cinta Itu Ikut Nabi, Taat Allah

Hanya dua formula. Mudah bukan. Tak susah sangat pun sebenarnya nak hidup senang didunia dan bahagia di akhirat.

Formula [1]: Ikut Nabi
Formula [2]: Taat Allah

Full stop.

Tak memerlukan ilmu tinggi macam roket sains untuk faham.Dengan sistem pendidikan negara Malaysia yang 'mantap' ini, mustahil anda tidak boleh faham 2 formula mudah ini.Faham dan buat dua perkara berbeza.Tapi yang penting, untuk buat, anda kenalah faham dulu. Dan anda faham bukan?

Kita ini manusia biasa, maka tuhan turunkan nabi sebagai manusia biasa, bukan sebagai makhluk ajaib yang hebat serba serbi atau orang kuat ala-ala Superman.Nanti anda beralasan kukuh Nabi ini susah untuk diikut, sebab orang hebat ala Superman itu bukan ramai pun kat dunia ini.

Rasullullah lagakya seakan manusia biasa saja, dengan kehidupannya yang sangat sederhana, budi pekerti yang amat elok.Akhlak tiada bandingan.Cuma mukjizatnya yang mustahil untuk kita tiru. Yang lain-akhlak, perilaku, tatatertib, sudah diajar baginda untuk kita contohi.Cuma mahu atau tidak mahu saja.

Nabi punya kesenangan dan kesusahan yang sama semacam kita.Nabi Muhammad melalui kehidupan sebagai manusia biasa sebelum diangkat menjadi NAbi.Maka, setiap peri pekerti dan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad sama sekali tidak mustahil untuk dicontohi oleh kita - manusia biasa.

Ikutlah setiap perkara yg nabi pernah buat.Walau perkara yang paling remeh sekalipun.Nescaya ada hikmah dan kebaikan.Dan jauhilah apa jua perkara yang Nabi tidak suka, kerana dengan hikmah yang ada pada Rasullullah, kebarangkalian perkara itu membawa keburukan adalah besar.

Allah tuhan yang menciptakan kita.Kalau bukan Allah, anda mahu taat tuhan mana lagi? Tiada Tuhan selain Allah.
Tak taat Allah, itu sangat silap.Jadi jangan buat silap.Silap-silap balasnya bukan syurga.
Jangan main-main.Jangan pandang mudah.

Jangan sekali-kali mengangkat Tuhan yang lain dalam diri anda.Kerana sesungguhnya tiada sama sekali Tuhan yang lain selain Allah.

Juga tidak mementingkan sesuatu yang lain yg berbentuk keduniaan seperti material walau kerjaya atau hobi lebih tinggi dari tempat yang sepatutnya.

Bab tahu.anda sudah tahu.Bab amal,pandai-pandai mencorak langkah membuka gerak. Ingat, mati hanya sekali. tapi hidup itu dua kali.Satu sementara dan satu lagi kekal selamanya.

Jom kita C.I.N.T.A

Wassalam.

Ibrah 25: Lokasi, Lokasi & Lokasi

Saturday, April 3, 2010



Sangat rimas bila ada sebahagian golongan sibuk mempersoal tempat dan ketika berbanding isi dan nilai.Sangat sibuk membuat analisis dan taa'kulan sendiri tentang tempat anda berjuang dan tempat mereka berjuang.Seakan itu agenda yang paling penting, sedangkan ramai lagi sahabat-sahabat yg tercicir belum dihulur bantuan.

Mereka lemas dlm dunia pekerjaan,dunia rumahtangga.Hulurkan tangan kepada mereka dahulu, mereka lebih memerlukan.Berbanding mengatur perbualan bertajuk sedemikian.

Kita yang berada dalam sampan Pandan, sampan Paka, sampan Kemaman, sampan Bintulu mahupun sampan Tronoh biarkan dahulu.Usah periksa sampan kami bagus atau tidak, hulurkan dulu tangan anda kepada sahabat-sahabat yang sedang lemas itu.Mereka sedang terkial-kial, mereka masih tidak mahu berpaut pada mana-mana sampan.Yang pastinya, mereka perlukan pertolongan.

'Sampan' mana anda berada, itu tidak terlalu penting.
Apa yang penting, anda kena sama-sama mendayung sampan itu melawan arus dan tidak tenggelam.

Usah peduli sampan mana mereka mereka ini menetap dan mendayung.Setiap 'sampan'ada kebaikan dan keburukan masing-masing.Ada ujian dan cabaran tersendiri.Itu sudah pasti.

Usah pandai-pandai membuat andaian 'sampan' kami sudah kuat, maka kami kena turun dan cari sampan yang lemah.Entah-entah ditengah perjalanan mencari sampan yang lemah, kami dulu yang lemas.Anda mahu bertanggungjawab?

Usah sibuk mencerca dan mengomen 'sampan' orang, kerana mungkin 'sampan' anda yang karam dulu.

Sibuklah mencari jalan agar sama-sama kita merekrut lebih ramai orang untuk berjuang.Sibuklah memeras otak mencari jalan untuk menyebarluaskan Islam.Kasihanilah sang murabitun yang bertungkus lumus berjuang sedangkan ganjaran tidaklah seberapa.Jangan anda sakiti hati mereka dengan mengomen 'sampan' mereka.

Kerana 'sampan' kita itu pun bukan sempurna sangat.

Bila orang Paka itu tak perasan bahawa mereka 'Pekak' kepada seruan jemaah.
Mereka buat tidak tahu saja seruan-seruan supaya keluar berjuang.Buat endah-tak endah saja akan laungan rakan seperjuangan.

Bila orang Kemaman itu tak perasan bahawa mereka itu 'Komang Sepana'.
Anda cuma melopong jadi sang pemerhati.Sedangkan anda mampu berbuat,merancang dan bertindak.Anda rasa diri anda memang 'komang' sampai anda tak cuba untuk berbuat apa-apa pun.Anda inferior akan diri sendiri.

Bila orang Pandan itu tak sedar mereka sedang jadi 'Pondan'.
Anda lesu akan seruan jihad,anda tidak berjuang sepenuh hati, anda rasa kecut dengan segala cabaran.Anda kalah dengan keperluan kareer anda.

Bila orang Bintulu itu tak perasan bahawa mereka sedang Kelu.
Anda tidak ambil pusing dan anda tidak ambil tahu.Anda cuma kelu jadi pemerhati.Anda punya potensi tapi anda rasa anda tak mampu.

Dan bila orang Tronoh itu tidak senonoh.
Anda berada ditempat ideal,cabaran anda cuma ruang lingkup anda.Malah anda tidak di'usik' dengan cabaran duniawi yang lain pun.Itupun anda tidak 'senonoh' dengan ajakan untuk keluar berjuang.

Tapi bila..


Orang² Paka itu jadi orang yang 'peka', maka hebat dan gahlah kawasan Paka.

Orang² Pandan itu jadi mewangi menyebar syiar islam semacam daun pandan wangi menyebar baunya, sejahteralah masyarakat Pandan.

Orang² Kemaman itu itu 'kemam' islam itu rapat-rapat dan erat-erat.Suburlah Islam di Kemaman.

Orang² Bintulu bertalu-talu menyampai dan meyebar Islam.Nescaya satu hari Bintulu itu akan gah dengan Islam.

Sebab Islam itu semacam roda, sekejap di atas, sekejap dibawah.Kita tak tahu bila roda itu akan berputar lagi, cuma yang kita perlu tahu, kerja kita tak akan pernah habis, tenaga kita tak boleh berhenti untuk dicurahkan, duit kita jangan sebarang-barang diperhabiskan.Kerana kerja belum habis!

Bila Islam di bawah, kita kena tetap menyokong dan mendokong.Walau semua segan mendekati,walau semua tak yakin akan Islam.Ujian dikala kalah sangat perit.Seakan seluruh dunia menentang apa yanganda bawa.Seakan anda sedang berenang melawan arus.Sukar sekali.

Bila Islam diatas, kita mesti lebih tetap menyokong dan mendokong, dikala orang berbondong-bondong menyokong perjuangan.Dikala itu, semua orang mengaku dirinya ahli perjuangan.Anda kena tetap utuh.Anda kena tetap teguh.Ujian dikala menang lebih mencabar dikala kalah.Juga amat sukar.

Kesimpulan,Jika Islam diatas mahupun Islam dibawah.Islam menang atau Islam belum menang, ujian tetap akan ada.Anda tetap kena utuh dan teguh.

Yang penting,bina ukhwah anda,bina fikrah anda kerana bila anda diuji..Anda takkan mudah menyerah!

Wassalam